Monday, November 28, 2011

Cerpen : Kasut Kelopak Jantung

ANALISIS KOMSAS CERPEN
“KASUT KELOPAK JANTUNG”
Oleh: DR. GHAZALI LATEH


SINOPSIS

Cerpen ini mengisahkan Cikgu Harun yang menerima bungkusan hadiah setiap tahun, terutamanya pada Hari Guru teringat semula peristiwa yang berlaku tiga puluh tahun dahulu sewakta beliau bertugas sebagai guru di kawasan pedalaman. Cikgu Harun sememangnya seorang guru yang tegas dalam soal keceriaan pelajar dan kelas. Beliau memarahi Ahmad yang tidak memakai kasut sekolah walaupun sudah tiga minggu sesi pesekolahan bermula. Di padang sekolah, Ahmad sekali lagi dimarahi Cikgu Harun kerana tidak membawa pakaian sukan. Oleh sebab itu, Cikgu Harun mendenda Ahmad dengan menyuruhnya mancari tali rafia untuk mengikat kelopak jantung pisang pada bahagian kakinya untuk dijadikan “kasut”. Ahmad merupakan murid yang patuh akan arahan gurunya terus mengikat kelopak jantung pisang. Dia berasa malu atas denda yang dikenakan oleh Cikgu Harun yang sebenarnya mahu Ahmad membeli kasut sekolah demi keselamatan kakinya. Selepas hari persekolahan tamat, Ahmad berlari ke rumah supaya kasut kelopak jantungnya tidak dikesan oleh kawan-kawan. Sejak hari itu, Ahmad tidak hadir ke sekolah. Cikgu Harun hairan akan perkara tersebut dan mengetahui bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah. Cikgu Harun yang berasa kesal atas dendanya terhadap Ahmad pula mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad untuk mengetahui perkara yang sebenar. Akhirnya, dia mengetahui bahawa Ahmad tinggal bersama ibunya yang uzur dan tua tidak mampu membeli kasut sekolah dan terpaksa mengambil upah memetik cili di kebun orang lain. Cikgu Harun yang tersentuh akan kedaifan Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah. Ahmad yang berterima kasih atas pemberian Cikgu Harun telah belajar dengan gigih dan menjadi seorang pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka. Sejak itu, Ahmad menghadiahkan kasut kepada Cikgu Harun sebagai membalas jasa gurunya, Cikgu Harun.


TEMA

Penghargaan seorang murid terhadap jasa guru yang ikhlas membantunya sewaktu murid itu miskin dengan menekankannya kepentingan memakai kasut.

PERSOALAN


1. Ketegasan guru di sekolah demi mendisiplinkan pelajar.
Buktiya, Cikgu Harun yang tegas menyebabkan Ahmad takut untuk merenung wajahnya tepat-tapat. Selain itu, Ahmad dimarahi Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut dan tidak membawa pakaian sukan.
2. Keprihatinan guru terhadap masalah murid.
Buktinya, Cikgu Harun yang prihatin akan kemiskinan keluarga Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah.
3. Keikhlasan murid membalas jasa guru.
Buktinya, walaupun Ahmad sudah besar dan berjawatan tinggi, namun dia tetapi mengingati jasa Cikgu Harun dengan menghadiahinya sepasang kasut pada setiap Hari Guru.
4. Kepentingan memakai kasut di sekolah.
Buktinya, Cikgu Harun tegas memastikan pelajar memakai kasut supaya muridnya tidak mengalami kecederaan kaki.
5. Penghargaan murid terhadap jasa guru.
Buktinya, setiap Hari Guru, Cikgu Harun akan menerima hadiah berupa kasut berjenama mahal daripada anak muridnya yang mengingati jasa gurunya itu walaupun sudah 30 tahun berlalu.